Thursday, September 28, 2017

Kau Kunci Hatiku Bahagian 16...

Bahagian sebelumnya:

Bahagian 16: Perubahan

Ayra memandang Hafizal dengan penuh tanda tanya, lebih-lebih lagi apabila melihat Hafizal kelihatan tenang.

"Betul awak nak tahu?" tanya Hafizal, ingin menduga.

Ayra mengangguk. Masakan dia tak mahu tahu tentang suaminya itu.

"Saya terpikat dengan awak sejak Wafi kenalkan awak pada saya. Ingat lagi?" tanya Hafizal sambil tersenyum nakal.

Jenuh Ayra memikirkan saat yang dimaksudkan. Dia mencuba untuk mengingat semula detik itu.

"Seingat saya, itu adalah sebelum Wafi  fly bukan? Lamanya tuan simpan perasaan!" ujar Ayra sambil melopong. Geli hati Hafizal melihat respon isterinya itu.

"Ya, betul. Sembilan tahun lepas. Padahal ketika itu awak hanya berseluar jeans, berbaju kemeja-T dengan tudung bawal selimpang tepi sahaja, tapi kecantikan awak terserlah."

Ayra keliru, mengapakah perkara itu tidak diketahui sejak mula? Kalau ianya diketahui, pasti dia akan memilih Hafizal berbanding Wafi.

"To be honest, I liked you from the beginning."

Ayra dapat melihat riak wajah Hafizal berubah setelah dia menuturkan ayat tersebut. Tak lama selepas itu, Hafizal bangun lalu membantunya bangun sekali. Namun begitu, kaki Ayra tiba-tiba kebas akibat duduk terlalu membuatkan Hafizal memimpinnya menuju ke arah sofa berhampiran lalu mereka berdua duduk di atasnya.

"What do you mean by that, sayang?" tanya Hafizal, inginkan kepastian.

"Saya sukakan tuan ketika itu, bukannya Wafi. Cuma, saya tak sangka tiga tahun selepas itu Wafi lamar saya menjadi buah hatinya."

Maksud awak, sebelum semua ini berlaku, awak adalah teman wanita Wafi?" tanya Hafizal, terkejut dengan pengakuan Ayra.

"Salah seorang teman wanitanya. Ketika saya diculik, saya sedang merajuk dengan Wafi kerana saya dapat tahu bahawa saya bukanlah satu-satunya teman wanitanya. Patutlah dia tidak memperkenalkan saya kepada keluarganya, malah tuan yang paling rapat dengannya juga tidak pernah tahu."

"Patutlah. Sudahlah, kita sambung cerita lain kali. Sekarang, saya nak benda lain," ujar Hafizal sambil tersenyum nakal.

Ayra tidak menjawab, sebaliknya hanya membiarkan Hafizal memeluknya.

     *     *     *     *     *

Ayra sedang meneliti laporan penggunaan utiliti yang diberikan oleh Encik Selamat apabila Erni datang ke arah mejanya. Melihat kehadiran Erni, Ayra menutup fail laporan itu lalu memandang ke arah Erni yang berdiri di hadapannya.

"Ada apa, Erni? Kau nak jumpa Encik Hafizal?" seloroh Ayra sambil tertawa.

"Taklah, aku nak jumpa PA Encik Hafizal yang lebih sibuk daripadanya," jawab Erni selepas ketawa dengan gurauan Ayra tadi.

"Hari ini PA Encik Hafizal tidak sibuk sebab Encik Hafizal ada temu janji di luar sampai jam empat. Selepas itu, mungkin PA dia akan lebih sibuk daripada biasa," ujar Ayra sambil berpeluk tubuh.

"Dia pergi mana, Ayra?" tanya Erni, ingin tahu.

"Dia jumpa cik Salwa, bakal tunangnya. Kau tak tahu? Hairan," jawab Ayra, selamba.

"Serius? Dia masih nak bernikah dengan minah senget itu?" tanya Erni dengan riak wajah terkejut.

Ayra tidak menjawab, sebaliknya hanya mengangkat bahu.

"Kau kata nak cerita pasal suami kau. Orangnya macam mana?" tanya Erni, setelah menarik kerusi daripada meja kosong berdekatan lalu duduk di hadapan Ayra.

Mujurlah Hafizal tiada di pejabat, kalau tidak pasti Erni akan dimarahi. Sejak dia menjadi PA Hafizal, tiada siapapun dibenarkan duduk berbual dengannya dan itu telah membuatkan dia berasa sangat sunyi.

"Orangnya agak dominan," ujar Ayra, membuka bicara.

"Perkataan yang kau pilih ini lain macamlah, Ayra. Dia romantik?" tanya Erni setelah berkerut wajahnya berfikir.

"Bolehlah, nampak macam ya tapi tak mahu tunjuk sangat. Dia sebenarnya lebih kepada dingin tapi mahu," komen Ayra sebelum ketawa.

"Pelik-pelik saja suami kau. Macam mana kau boleh terkahwin dengan dia? Bukankah kau dengan Wafi?" tanya Erni, hairan.

"Aku bergaduh dengan Wafi, dia ada perempuan lain. Aku tak boleh terima lelaki yang hanya fikir keseronokan sahaja," ujar Ayra sambil membetulkan kaca matanya. Memang menjadi rutin Ayra, setiap kali dia berhadapan dengan komputer, dia akan memakai kaca mata kerana dia mempunyai rabun silau yang agak teruk.

"Cuma, aku hairan. Bagaimana pula kau boleh terjebak dengan Encik Hafizal? Sepanjang kau jadi PA Encik Hafizal, aku tak nampak kau bergaduh dengan dia lagi," tanya Erni membuatkan Ayra terpana.

"Kalaulah kau tahu, aku tak boleh nak melawan kata-katanya. Kalau diikutkan hati, mahu saja aku bergaduh dengan dia hari-hari," getus hati Ayra.

"Dia tolong aku waktu aku hilangkan diri hari itu, sebab itulah aku kena setuju dengan semua syarat-syarat dia," jawab Ayra, lemah.

"Jadi, kau berubah inipun sebab dia?" tanya Erni dengan mata yang dibuntangkan.

"Apa boleh buat? Adat makan gaji, bukan?" duga Ayra.

"Masalahnya, bukannya kau tak bergaduh dengan dia sebab kau tak memberontak, tapi dia pun tak ada nak cari gaduh dengan kau. Tak ada nak suruh kau buat benda-benda pelik macam dulu. Kau perasan tak?" tanya Erni, hairan.

Ayra terbungkam mendengar pernyataan yang dikeluarkan oleh Erni itu. Sungguh, dia baru saja menyedari bahawa Hafizal sudah mula berubah sikap, terutamanya layanan Hafizal kepadanya. Kalau dulu, setiap kali mereka berdua bertemu, pasti Hafizal akan cuba menyakitkan hatinya sehingga akhirnya mereka bertengkar.

     *     *     *     *     *

Pagi itu, sebaik sahaja selesai sarapan pagi, Hafizal keluar dari rumahnya. Ayra sendiripun tak pasti ke manakah suaminya itu pergi kerana riak wajahnya jelas menunjukkan dia tak mahu diganggu.

Sedang dia mengelap meja makan, tiba-tiba loceng pintu rumahnya berbunyi. Dia tak dapat memikirkan siapa yang membunyikan loceng itu kerana setahunya, tiada siapa yang mengetahui kewujudannya di dalam rumah ini.

Namun begitu, dia tetap menuju ke arah pintu rumahnya lalu membukanya. Alangkah terkejutnya dia melihat Apai berdiri bersama seorang lelaki dan perempuan di hadapannya.

"Mummy, daddy? Kenapa tak beritahu nak datang?" tanya Ayra, terkejut.

"Cepat siap, mummy dengan daddy tunggu dalam kereta," ujar Puan Sri Halimatun sambil menuding ke arah dalam rumah.

"Nak ke mana?" tanya Ayra lagi.

"Ikut sajalah, nanti mummy cerita. Jangan risau, tentang Ijal, biar mummy uruskan," ujar Puan Sri Halimatun sambil tersenyum nakal.

Ayra tidak membantah, kerana hari ini baru dia menyedari dari mana Hafizal mendapat perangainya yang dominan itu. Ke mana lagi tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi!

Rupanya ibu bapa mentuanya itu membawanya pulang ke rumah keluarga milik pasangan suami isteri itu. Inilah kali pertama dia menjejakkan kaki ke rumah itu sejak dia diakui sebagai menantu Tan Sri Megat Mustaqim.

Ketika mereka tiba, kelihatan Hafizal, Wafi dan seorang lagi lelaki sedang berbual di ruang tamu. Puan Sri Halimatun meninggalkan Ayra dan Tan Sri Mustaqim di belakang lalu mendekati mereka bertiga.

"Abang kamu itu sentiasa ada benda yang nak dilakukan. Ayra mana? Kamu tak bawa dia ke sini ke?" sampuk Puan Sri Halimatun tiba-tiba.

Ayra masih lagi terpaku di tempat dia berdiri.

"Tak, mummy. Ijal tak bagi dia datang. Ada ke mummy suruh dia datang rumah sebab nak raikan pertunangan suami dia sendiri?" seloroh Hafizal.

Ayra terbungkam. Rupanya hari ini hari pertunangan Hafizal? Kenapa dia tak diberitahu tentang ini?

"Chop, abang! Siapa Ayra ini? Kenapa Husaini tak tahu tentang ini?" tanya lelaki yang seorang lagi, bertalu-talu.

"Mummy punya pasal, sekarang semua orang sudah tahu! Mummy jawablah, Ijal nak balik. Semua sudah selesai bukan?" ujar Hafizal lalu mencampakkan alat kawalan jauh televisyen kepada Husaini lalu bangun untuk beredar.

Ayra mula mendekati Puan Sri Halimatun untuk mendapatkan kepastian.

"Megat Hafizal, nak ke mana itu?" tanya Puan Sri Halimatun membuatkan Hafizal kematian langkah.

Hafizal berpaling ke arahnya dan Ayra dapat melihat suaminya tergamam melihatnya.

*BERSAMBUNG*

0 comments:

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com