Thursday, September 14, 2017

Kau Kunci Hatiku Bahagian 3...

Bahagian sebelumnya:

Bahagian 3: Kau Milikku

Lama Ayra mendiamkan diri, membiarkan soalan Hafizal tidak berjawab. Bukan dia tak mahu menjawab, tetapi apabila dia mengenangkan nasibnya, dia mula dihantui rasa bersalah.

"Kenapa dengan kau ini? Aku tanya dari tadi tak berjawab. Kau rasa tak mungkin aku yang beli kau, begitu?" tanya Hafizal lagi, selepas dia melihat Ayra tidak menjawab soalannya sedari tadi.

"Ya, saya memang tak sangka Encik Hafizal yang beli saya," jawab Ayra, jujur.

"Baiklah, aku nak mulakan dengan 'Encik Hafizal' itu. Mulai saat ini, aku tak benarkan kau panggil aku Encik Hafizal lagi. Kau kena panggil aku Tuan," arah Hafizal, sambil tersenyum sinis.

"Kenapa tuan?" tanya Ayra, lembut. Dia sedar hidupnya kini tidak lagi mengizinkannya untuk dia melayan lelaki di hadapannya seperti dulu.

"Supaya kau tak pernah lupa yang kau milik aku," jawab Hafizal, selamba.

"Tapi, takkan di pejabat pun?" tanya Ayra lagi.

"Aku ada kata apa-apa tentang kerja kau ke?" duga Hafizal.

Ayra hanya menggeleng, tapi dalam hatinya sebal dengan lagak Hafizal yang tak sudah itu.

"Bagi menjawab soalan kau, ya. Kau harus memanggil aku dengan gelaran itu sehingga aku mengizinkan kau memanggil aku dengan nama lain. Tentang kerja kau, kau masih boleh bekerja di syarikat aku seperti biasa, tetapi kau tak boleh memegang jawatan yang kau pegang sekarang."

"Maksud en.. tuan?"

"Aku akan pindahkan kau jadi Pembantu Peribadi aku, gaji kau aku naikkan kepada RM4500, tapi dalam masa yang sama kau akan jadi pemandu aku sehingga aku suruh kau berhenti. Selepas waktu kerja, kau akan jadi orang gaji tak berbayar aku untuk ganti balik duit yang aku dah keluarkan untuk beli kau dulu," terang Hafizal lagi.

"Aku buat macam-macam untuk mengelak daripada dia ini, akhirnya melekat juga sampai lepas waktu kerja," ngomel Ayra, geram.

Hafizal melihat wajah Ayra yang berkerut itu. Dia tahu gadis itu geram dengan apa yang dilakukannya. Namun, semuanya bersebab. Tidak kiralah apa yang sudah, sedang dan bakal dia lakukan ini.

"Selepas waktu kerja? Maksudnya saya..."

"Ya, kau kena tinggal di sini mulai saat ini. Kau kena layan aku 24 jam sehari, 7 hari seminggu, melainkan kalau aku izinkan kau untuk berehat. Kau nak ke mana-mana, hanya dengan izin aku," potong Hafizal sebelum sempat Ayra menghabiskan ayatnya.

Melopong Ayra mendengar jawapan Hafizal itu. Apakah lelaki di hadapannya ini sudah dirasuk syaitan ataupun gila?

"Kau ingat aku ini gila ke apa?" tanya Hafizal.

Alangkah terkejutnya Ayra mendengar soalan Hafizal itu tadi. Bagaimana pula dia tahu itu yang difikirkannya? Namun begitu, dia hanya mampu menggelengkan kepalanya.

"Buat sementara waktu ini, aku takkan tinggal disini. Namun, ini bukan peluang kau untuk melarikan diri. Aku dah arahkan pengawal peribadi aku untuk jaga kau. Aku takkan teragak-agak untuk kurung kau dalam rumah ini kalau kau berdegil."

"Habis itu, tuan duduk di mana?"

"Aku ada rumah lain. Tak lama lagi kau akan berpindah ke sana, kerana aku akan menikahi kau untuk memudahkan aku memastikan kau ada di sisi aku."

"Nikah? Tuan ingat nikah kahwin ini boleh dibuat main ke?"

"Aku tak main-main, kau tengok muka aku ini, ada gaya orang main-main tak?"

Ayra hanya menggelengkan kepala bagi menjawab soalan Hafizal.

"Kau bukannya ada pilihan, melainkan kau sanggup nak bayar balik RM5 juta itu," sindir Hafizal.

Ayra mengetap bibir. Senang betul orang kaya ini bercakap! Namun begitu, Ayra masih lagi bersyukur Hafizal masih memikirkan tentang harga dirinya.

"Betul juga cakap tuan itu. Saya bukannya ada pilihan, bukan? Saya setuju, asalkan kita tak bersedudukan tanpa ikatan pernikahan."

"Bagus. Hujung minggu ini kita pergi kursus kahwin. Kalau semuanya selesai, minggu depan kita nikah. Akan tetapi, aku masih ada beberapa syarat untuk pernikahan kita."

"Apa dia, tuan?"

"Pertama, aku nak kau rahsiakan pernikahan kita. Kedua, kau tidak boleh menuntut sebarang hak sebagai seorang isteri, melainkan aku yang berikan atau aku izinkan kau memintanya. Ketiga, kau sama sekali tidak boleh menolak sebarang permintaan aku, aku hanya mahu dengar 'ya' atau 'okay' sahaja sebagai jawapan."

Tidak berkedip mata Ayra memandang Hafizal, rasa seperti kisah hidupnya bakal menjadi seperti dalam novel cinta.

"Apa yang kau tenung itu? Keempat, kau tidak boleh merenung ke dalam mata aku atau memandang wajah aku. Kalau kau jumpa aku, aku nak kau tunduk melainkan aku suruh kau pandang muka aku ini."

Ayra mengangguk, lemah. Banyak pula syaratnya, tambah dengan tiga syarat yang mula-mula didengari sebaik sahaja dia sedar lagi!

"Kelima, kau tidak boleh menunjukkan sebarang reaksi apabila bercakap dengan aku, walaupun gembira. Seolah-olah kau tiada perasaan. Terakhir sekali, kau sama sekali tidak boleh meminta cerai."

"Berapa lama kita kena berkahwin?" tanya Ayra, hairan dengan syarat terakhir Hafizal.

"Sampai bila-bila."

Ayra terbungkam. Bagaimana dia hendak hidup dengan insan yang paling dibencinya itu? Dia sama sekali tidak pernah menyangka bahawa lelaki di hadapannya ini bakal menjadi suaminya. Walaupun mereka kahwin terpaksa, namun tiada istilah kahwin kontrak antara mereka.

     *      *      *      *      *

"Ayra, mana kau pergi dua hari hilang?" tanya seorang gadis yang tiba-tiba berdiri di hadapan meja kerja Ayra sebaik sahaja Ayra tiba di pejabat pagi itu.

"Aku ada hal kecemasan, Erni. Minta maaflah kalau kau kena cover aku pula," ujar Ayra sambil memegang bahu Erni.

"Eh, tak ada apa-apalah! Lagipun semasa kau tiada, Encik Hafizal tak cari kau pun. Sekejap, kau nak ke mana ini kemas barang atas meja kau ini?"tanya Erni setelah dia melihat Ayra mengemaskan barang-barang di atas mejanya ke dalam sebuah kotak kecil yang dia bawa dari rumah tadi. Sudahlah malam sebelumnya dia sudah terbungkam setelah masuk ke dalam bilik tidur yang Hafizal sediakan kerana barangan peribadi sudahpun tiba sebelumnya.

"Aku tahu sebentar lagi aku akan dipindahkan ke bahagian lain. Aku tengah tunggu surat daripada HR sahaja ni."

"Kau ini peliklah. Mana ada orang tahu dia bakal dipindahkan lebih awal?"

"Aku tahu. Aku dah dapat arahan malam semalam."

"Pindah ke mana?" tanya Erni, ingin tahu.

Belum sempat Ayra menjawab, ada seorang lelaki berhenti di sebelah Erni lalu menghulurkan sekeping sampul kepada Ayra.

"Tahniah Ayra, awak dinaikkan pangkat untuk menjadi pembantu peribadi Encik Hafizal. Semoga awak dapat menjalankan amanah ini dengan baik," ujar lelaki itu selepas Ayra menyambut sampul tersebut.

"Terima kasih, Encik Selamat. In shaa Allah, saya akan lakukan yang terbaik," jawab Ayra, sambil tersenyum. Tiada riak terkejut di wajah Ayra memandangkan dia telah mengetahui rancangan Hafizal itu.

"Baiklah kalau begitu. Encik Hafizal arahkan awak untuk ada di dalam biliknya lagi lima minit," arah Selamat sebelum berlalu pergi.

"Lima minit. Baiklah, saya pergi sekarang. Erni, nanti kita borak lain," jawab Ayra sebelum berlari menuju ke arah lif bersama kotak yang berisi barangan peribadinya itu.

Pejabat Hafizal terletak di tingkat 8 manakala pejabat lama Ayra terletak di tingkat 3. Jadi, dia tak mungkin akan tiba dalam masa lima minit sekiranya dia perlu menaiki tangga.

Setelah bertarung dengan masa, akhirnya Ayra tiba di hadapan bilik pejabat Hafizal. Dia meletakkan kotak yang dijinjingnya itu di atas meja kosong yang terletak di hadapan bilik tersebut sebelum mengetuk pintu bilik majikan barunya itu.

"Masuk!" suara itu membuatkan Ayra membuka pintu bilik itu perlahan-lahan.

Ayra melihat Hafizal sedang khusyuk membaca laporan projek ketika dia masuk ke dalam bilik itu. Dia menutup pintu bilik itu lalu berdiri di sebelah kanan meja Hafizal, menantikan arahan pertama lelaki itu di tempat kerja.

"Lima minit dan satu saat. Awak lewat," ujar Hafizal, tiba-tiba.

Lewat satu saat? Ayra tercengang.

"Satu saat pun kira?" tanya Ayra, dengan suara yang sedikit bergetar.

"Kalau orang lain, saya tak kira tetapi awak, ya. I don't want you to be late for even one second!" terjah Hafizal, dengan suara yang agak keras.

"Tuan kira sejak bila?" tanya Ayra, hairan.

"Sejak Encik Selamat beritahu awak untuk ada di sini dalam masa lima minit. No more question, nampaknya saya kena ajar awak ini supaya menepati masa," ujar Hafizal dengan riak wajah yang penuh helah.

"Maafkan saya, tuan. Berikan kelonggaran kali ini sahaja, selepas ini saya akan buat yang terbaik," rayu Ayra, bersungguh.

"Sejak bila Ayra Melissa tahu minta maaf dengan saya? Hairan," sindir Hafizal, bersahaja.

Ayra mengetap bibirnya tanda geram.

"No expression, Ayra!" Hafizal memberikan amaran apabila dia melihat tindakan Ayra itu.

Mendengar amaran Hafizal, terus sahaja Ayra mengembalikan wajah asalnya. Takut dia jikalau Hafizal menghukumnya seperti pagi tadi di mana dia tidak dibenarkan untuk bangun dari kerusi makan selagi Hafizal tidak habis bersarapan gara-gara dia menyenduk bihun goreng yang dimasaknya pagi tadi dengan kasar. Malah, dia juga tidak dibenarkan untuk bersarapan, hanya minum milo sahaja dibenarkan.

"Bagi menjawab soalan tuan tadi, sejak tuan beli saya."

"Kalau saya tidak beli awak, awak takkan berbaik dengan saya. Begitu?"

Ayra mengangguk lemah.

Hafizal tersenyum melihat respon Ayra. Geli hatinya melihat kejujuran gadis itu.

"Disebabkan awak minta maaf dengan saya dan jujur dengan saya tadi, saya izinkan awak pergi sarapan di kafe bawah. Ini duitnya, tapi jangan cuba lari sebab saya sentiasa ada mata-mata yang memerhatikan awak," ujar Hafizal lalu menyerahkan sekeping not RM50 kepada Ayra.

Hafizal tahu Ayra tak punya wang kerana dompet Ayra yang dipulangkan semalam hanya mempunyai kad pengenalannya dan kad-kad keahlian sahaja. Kad bank miliknya pula telah dipatahkan.

"Banyak ini, tuan tak ada duit kecil ke?" tanya Ayra sambil memegang not RM50 tersebut.

"Bakinya awak simpan untuk kegunaan masa depan. Saya tahu awak tak ada duit," ujar Hafizal.

Ayra semakin tercengang melihat tingkah laku Hafizal itu. Sama sekali berbeza dengan Hafizal yang dikenalinya sebelum ini. Mungkin ini sisi Megat Hafizal yang lain barangkali.

"Terima kasih, tuan. Saya pergi dulu," jawab Ayra lalu berpusing untuk beredar.

"Awak nak ke mana itu? Saya belum habis cakap lagi," jerkah Hafizal apabila dia melihat Ayra ingin beredar.

"Maaf, tuan. Ada apa-apa lagi?" tanya Ayra selepas berpaling semula menghadap Hafizal.

"Saya bagi awak setengah jam daripada saat awak tutup pintu bilik saya. Faham?"

Ayra mengangguk.

"Lagi satu, kita akan bernikah esok pagi. Pakcik awak dah tanda tangan surat pemindahan kuasa wali kepada wali hakim kerana dia tak sihat. Dia kirim salam dan ucapkan selamat pengantin baru pada kita."

"Apa dia?" tanya Ayra, tercengang dengan kenyataan Hafizal.

*BERSAMBUNG* 

0 comments:

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com