Thursday, September 14, 2017

Kau Kunci Hatiku Bahagian 4...

Bahagian sebelumnya:
Bahagian 4: Aku Terima Nikahnya

"Perlukah awak terkejut begitu? Bukan memang saya dah katakan yang kita akan bernikah?" tanya Hafizal selepas dia melihat Ayra tercengang.

"Cepatnya! Kita belum buat kursus kahwin lagi, bolehkah begitu?" tanya Ayra, hairan.

"Itu saya dah uruskan, pejabat agama suruh teruskan dengan kursus kahwin hujung minggu ini dan serahkan sijil kepada mereka sebaik sahaja kita menerimanya," jawab Hafizal sambil tersenyum.

Ayra yang mendiamkan diri membuatkan Hafizal tersenyum puas.

"Oh ya, ambil ini. Telefon bimbit awak kena rampas oleh Harry bukan? Ini telefon bimbit awak, dengan nombor yang baru. Bil awak akan dimasukkan di bawah akaun saya," terang Hafizal lalu meletakkan kotak telefon bimbit di atas mejanya.

Ayra mendekati meja Hafizal untuk mengambil telefon bimbit tersebut. Sangkaannya telefon bimbit itu hanya telefon bimbit lama milik Hafizal, namun sangkaannya meleset apabila dia melihat kotak telefon bimbit itu tertulis iPhone 7.

"Mahal sangat telefon ini, tuan."

"Lebih baik awak ambil sebelum saya kurangkan masa sarapan awak," arah Hafizal lalu menyambung kerjanya yang tertangguh akibat Ayra tadi.

Walaupun begitu, dia sempat mengerling ke arah Ayra yang mengambil kotak telefon bimbit tersebut lalu keluar dari situ.

     *      *      *      *      *

Tepat setengah jam, pintu bilik Hafizal diketuk. Hafizal yang baru sahaja selesai menanda tangani dokumen memandang ke arah pintu.

"Masuk!" jerit Hafizal meskipun dia dapat menduga siapakah gerangan di sebalik pintu tersebut.

Tak lama selepas itu, pintu bilik Hafizal dibuka dan muncul kelibat Ayra di sebalik pintu. Ayra menutup pintu bilik tersebut lalu menuju ke arah Hafizal.

"Tuan, ada apa-apa yang tuan perlukan?" tanya Ayra dengan riak tanpa ekspresi walaupun suaranya menunjukkan dirinya sedikit gembira.

"Buatkan saya teh O kurang manis. Selepas itu, bawakan saya fail projek Rossa Residences. Saya nak semak perkembangan projek tersebut. Tengahari ini awak kena ikut saya ke kedai barang kemas untuk ukur jari awak pada cincin kahwin kita. Selepas itu, kita akan pergi membeli-belah barang dapur dan keperluan awak. Saya nak makan nasi ayam malam ini, awak kena masakkan untuk saya," arah Hafizal dengan selamba.

Buat kesekalian kalinya, Ayra melopong. Banyak betul arahan yang diterima, cukup sampai malam.

"Itu saja?" tanya Ayra, berbasa basi. Kalau diikutkan hati, mahu saja dia pergi dari situ. Tak kuasa dia nak melayan kerenah 'tuan'nya itu.

Hafizal hanya mengangguk, seterusnya membuat isyarat tangan yang menyuruh Ayra keluar dari biliknya. Sebaik sahaja wanita tersebut keluar dari biliknya, dia mengambil iPhone 7 miliknya lalu menghubungi Fred.

"Hello, bos! Awal pagi dah telefon saya ini, ada apa?" tanya Fred, di hujung talian.

"Kau dah uruskan hal geng 888 itu?" tanya Hafizal, serius.

"Sudah, pihak polis sudah dapat memberkas kesemua ahli geng tersebut, kecuali Harry. Nasibnya baik kerana dia tiada di sarang mereka ketika pihak polis membuat serbuan itu. Saya dapat maklumat baru mengenai geng 888 itu."

"Apa dia?" tanya Hafizal, ingin tahu.

"Mereka ada penaung yang mana menguruskan aliran wang keluar masuk mereka. Ahli geng mereka hanya mengenali penaung tersebut dengan gelaran Mr. W dan khabarnya orang ini datang dari golongan atasan."

"Apalah kau ini! Kalau dia yang uruskan aliran keluar masuk wang geng tersebut, sudah tentu dia orang golongan atasan. Aduhai, kau ingat orang golongan sederhana macam kamu itu ada banyak duitkah?" tanya Hafizal, sambil ketawa kecil.

"Maaf, bos. Saya tak terfikir sampai ke situ. Jadi, bagaimana sekarang bos?" tanya Fred.

"Nampaknya kita kena lebih berhati-hati. Aku pasti dia akan cari kita juga selepas mereka dapat tahu kita yang buat laporan mengenai mereka. Aku juga nak kau teruskan hantar orang untuk jaga Ayra walaupun selepas kami bernikah," arah Hafizal.

"Bos sayangkan dia ya? Saya ingatkan bos beli dia sebab dia pekerja bos," duga Fred.

"Memanglah aku beli dia sebab dia itu pekerja aku! Kau jangan macam-macam, Fred. Aku tumbuk muka kau nanti!" jerkah Hafizal, berang dengan soalan yang Fred ajukan itu.

Tiba-tiba, pintu biliknya diketuk lagi dan belum sempat Hafizal menjawab, pintu tersebut telahpun dibuka. Ayra muncul bersama secawan teh dan sebuah fail berwarna biru.

"Fred, aku hubungi kau kemudian. Line tak clear!" bisik Hafizal.

"Okay bos, roger and out," jawab Fred sebelum talian tersebut diputuskan.

Ayra berjalan menuju ke arah meja Hafizal lalu diletakkan cawan dan fail tersebut di atas mejanya.

"Teh yang tuan minta, dan ini fail Rossa Residences," ujar Ayra.

"Baik, terima kasih. Awak boleh sambung kerja kalau tak ada apa-apa lagi," jawab Hafizal sambil mencapai cawan yang diletakkan Ayra tadi lalu menghirup teh di dalam cawan tersebut.

"Sedap, macam yang saya suka. Terima kasih Ayra, tengahari ini saya belanja makan," komen Hafizal lalu tersenyum.

Ayra tidak memberikan sebarang reaksi, sebaliknya hanya mengangguk. Selepas itu, dia berpaling untuk keluar dari bilik tersebut. Hafizal pula mencapai fail yang diberikan oleh Ayra lalu menyemak isi kandungan fail tersebut.

     *     *     *     *      *

"Aku terima nikahnya Ayra Melissa binti Mohd Elyas dengan mas kahwinnya sebanyak RM300," Hafizal membalas lafaz Ijab yang diberikan oleh tok kadi tadi dengan lafaz Qabul bersaksikan Nazrin dan Khairul serta diperhatikan Ayra yang berada di sebelahnya.

"Sah?" tanya tok kadi kepada Nazrin dan Khairul. Keduanya mengangguk.

Mendengar respon Nazrin dan Khairul, tok kadi mula mengangkat tangan untuk membaca doa diikuti mereka yang lain.

Sebaik sahaja selesai urusan pernikahan Hafizal dan Ayra, kesemua mereka keluar dari bilik tok kadi lalu duduk di bangku yang disediakan di luar bilik tersebut. Hafizal mengeluarkan dua kotak berisi barang kemas lalu dibukakan kotak yang lebih besar terlebih dahulu.

Kotak yang lebih besar mengandungi seuntai gelang tangan emas bercorak bunga-bungaan. Gelang emas yang ditempah khas dari Habib Jewels itu tampak cantik berkilau apabila terkena cahaya lampu telah memukau semua mata yang melihat.

Hafizal mengambil gelang tangan tersebut lalu dipakaikan di pergelangan tangan Ayra. Dia melihat wajah isteri yang baru dikahwininya itu, walau bagaimanapun wanita itu cuba menyembunyikan ekspresi wajahnya, namun dia tahu wanita itu terpaku dengan kecantikan gelang tangan tersebut.

"Saya tak izinkan awak tanggalkan gelang tangan ini, walau untuk sesaat," arah Hafizal.

"Baiklah," jawab Ayra, pendek.

Kemudian, Hafizal membuka pula kotak barang kemas yang lebih kecil. Terdapat dua bentuk cincin perak tanpa sebarang batu mahupun corak. Namun begitu, terdapat garisan berwarna hitam di sepanjang cincin tersebut yang telah menaikkan seri cincin tersebut. Dua bentuk cincin tersebut serupa dari segi rekaan tetapi berbeza dari segi saiz. Sesiapa saja yang melihat pasti tahu ini merupakan cincin pasangan.

Hafizal mengambil cincin yang lebih kecil lalu menyarungkan ke jari Ayra. Selepas itu, dia menghulurkan kotak tersebut kepada Ayra.

Ayra mengambil cincin yang lebih besar lalu menyarungkan ke jari Hafizal lalu mencium tangan suami yang baru dinikahinya itu. Ketika Ayra mencium tangan Hafizal itu, Hafizal memegang kepala Ayra lalu berdoa agar rumah tangga mereka berada di bawah keredhaan Allah.

Selepas Ayra melepaskan tangan Hafizal, Hafizal mengeluarkan sekeping sampul surat lalu menyerahkan kepada Ayra.

"Ini duit mas kahwin awak, pakai untuk keperluan awak. Duit nafkah awak bulan ini saya dah masukkan ke dalam akaun awak, tapi kalau bila-bila awak perlukan duit, awak minta pada saya," terang Hafizal.

"Tapi kad bank saya dah patah, bukan?" tanya Ayra, hairan dengan penjelasan Hafizal.

"Tahu, jadi biar dululah duit nafkah awak itu dalam akaun. Sampai saya bawa awak untuk buat kad baru. Lagipun awak bukannya boleh keluar tanpa izin saya bukan?" tanya Hafizal sambil tersenyum sinis.

Ayra hanya mengangguk. Ada benarnya kenyataan Hafizal itu. Dia terus menyimpan sampul surat tersebut ke dalam beg tangannya yang dibelikan oleh Hafizal semalam. Meskipun beg tersebut bukannya yang termahal, namun beg tersebut tidak mampu untuk dia miliki dengan gajinya.

"Bro, lama betul kau bertukar-tukar barangan ini. Kami dah lama tunggu ini," Nazrin mencelah lalu membuatkan Hafizal ketawa.

"Oh ya, sebelum kita makan, ada sesuatu lagi yang aku nak tukar. Ayra, kenalkan ini kawan baik 'abang', yang ini Nazrin dan yang ini Khairul. Kau orang, ini isteri aku Ayra," terang Hafizal sambil menunjukkan ke arah Nazrin dan Khairul yang berdiri memerhatikan mereka sedari tadi.

"Okay, dia nak aku panggil dia abang depan kawan-kawan dialah ini," ngomel Ayra dalam hati.

Ayra hanya tersenyum memandang Nazrin dan Khairul. Dia berasa sangat janggal sekarang.

"Ayra boleh panggil saya Kay saja, dan boleh panggil Nazrin ini Naz," ujar Khairul sambil tersenyum manis. Dia sangat terpukau dengan wajah Ayra yang nampak biasa saja, tetapi mempunyai aura yang boleh memukau lelaki. Patutlah Hafizal sanggup berhabis RM5 juta untuk wanita ini.

"Kau orang jangan lebih-lebih, aku tumbuk kau orang karang," Hafizal meluahkan perasaan cemburunya dengan keletah rakan-rakannya itu.

Ayra memandang wajah suaminya itu. Apakah apa yang didengarinya ini tulus lahir dari hatinya atau hanya sandiwara di hadapannya rakan-rakannya? Sedang dia berfikir, tiba-tiba dia terlanggar seorang wanita lalu jatuh terduduk.

Hafizal yang melihat kejadian itu mendekati Ayra lalu membantu untuk bangun. Dia memandang wanita tersebut, wanita yang berbaju kurung berwarna hijau, berselendang dan berkaca mata hitam itu masih lagi tidak berganjak dari situ dan hanya memandangnya.

"Macam mana awak berjalan sampai boleh terlanggar isteri saya?" tanya Hafizal dengan suara yang keras.

"Siapa suruh isteri awak berdiri di tengah jalan, mengganggu laluan orang saja!" dengus wanita itu, berang.

"Qatrunnada?" tanya Ayra pula kepada wanita itu.

Wanita itu kaget setelah mendengar soalan Ayra lalu dia cuba pergi dari situ. Namun, tangan Ayra lebih pantas menarik lengan wanita itu sampai dia tak dapat bergerak.

"Nak lari ke mana itu?" tanya Ayra, sinis.

"Awak salah orang ini," jawab wanita tersebut. Ada getar pada suaranya membuatkan Hafizal mula berasa hairan.

"Saya tak mungkin lupa orang yang dah rosakkan hidup saya! Saya kenal sangat suara mengada awak itu!" jerkah Ayra lalu menarik kaca mata hitam wanita itu untuk ditanggalkan. Sebaik sahaja kaca mata wanita itu ditanggalkan, wajah Ayra berubah.

*BERSAMBUNG*

No comments:

Post a Comment