Tuesday, November 21, 2017

Kau Kunci Hatiku Bahagian 50...

Bahagian sebelumnya:

Bahagian 50: Kejutan

"Sebenarnya apa, Bob? Baik kau cakap dengan aku, kenapa dengan Qat?" terjah Wafi membuatkan Bob terkejut.

"Qat sekarang menghidap penyakit HIV positif, sama seperti bos," jawab Bob, lemah.

"Apa maksud kau? Jadi, aku dijangkiti penyakit ini daripada dia?" tanya Wafi lagi.

"Boleh jadi kerana dia adalah pembawa. Melainkan kalau bos ada tiduri wanita lain selainnya," jawab Bob, sambil menggaru kepalanya yang tak gatal itu.

Mendengar jawapan Bob, Wafi terbungkam. Mana mungkin dia tak berasa marah kerana telah dijangkiti penyakit yang tiada penawarnya itu. Namun begitu, memikirkan siapa pembawanya, hatinya tak mampu untuk berasa marah kepada insan tersebut kerana dia tahu pilihan untuk meniduri wanita itu datangnya daripada dirinya sendiri. Tiada siapa yang memaksa agar dia meniduri wanita itu. Tambahan pula, dia tak mampu untuk marah kerana wanita itu adalah wanita yang dicintainya kini.

"Mujurlah aku tak menikahi Ayra dalam keadaan aku begini. Kalau tidak, pasti dia harus menderita akibat kebodohan aku sendiri," ujar Wafi tiba-tiba membuatkan Bob memandangnya.

"Mungkin Tuhan itu masih ada rasa kasih dan sayang pada kita lagi bos, sebab itulah Dia aturkan takdir begini," jawab Bob bagi menjawab kekusutan yang bermain di benak fikiran Wafi.

"Aku tahu, sebab itulah aku nak serah diri. Sampai bila aku nak lari? Aku pun bukannya boleh hidup lama lagi," terang Wafi lalu mengeluh.

"Bos nak jumpa Qat dulu? Dia sekarang ada di Hospital Sultanah Aminah," jelas Bob.

"Memanglah nak, tapi untuk ke hospital itu satu risiko yang besar. Aku lagi rela ditahan di balai polis daripada ditahan di tempat awam. Aku ini anak CEO syarikat besar tahu? Aku masih kena menjaga nama baik keluarga dan syarikat," terang Wafi.

"Betul juga. Kalau begitu, saya ada satu idea. Itupun kalau bos setuju," jawab Bob sambil tersenyum.

Wafi hanya memandang Bob dengan wajah yang terpinga-pinga. Entah apa yang berada di dalam fikiran Bob sekarang, dia sendiripun tak pasti.

     *     *     *     *     *

Wafi sedang duduk di birai katil bilik hotel bajet yang didiaminya sejak semalam apabila pintu biliknya dibuka. Wafi memandang ke arah pintu kerana bimbang andai polis datang untuk menahannya. Namun, dia menarik nafas lega apabila dia mendapati Bob dan Qatrunnada yang masuk ke dalam bilik tersebut.

Bob dilihat menutup pintu bilik, manakala Qatrunnada berjalan mendekati Wafi. Wafi dapat melihat susuk tubuh Qatrunnada yang semakin kurus, wajahnya yang cengkung dan sesekali kedengaran batuk membuatkan hatinya tersentuh kerana mendedahkan wanita itu dalam dunia pelacuran. Andai dia tak memulakan perniagaan haramnya itu, pasti ramai orang boleh dia selamatkan termasuklah Qatrunnada. Terdetik perasaan menyesal di dalam hatinya, namun sukar untuknya memohon kemaafan kepada semua mangsanya.

Qatrunnada berdiri di hadapan Wafi, memandangnya lama sebelum dia melutut di hadapan Wafi. Wafi hanya memandang wanita itu dengan penuh rasa rindu sebelum akhirnya dia cuba untuk menyentuh pipi Qatrunnada, namun dielak lembut oleh wanita itu. Dia tahu kenapa wanita itu mengelak.

"Tak guna you elak, I memang dah dijangkiti penyakit yang sama. Jadi, I rasa tak ada masalah untuk I sentuh pipi you," ujar Wafi lalu mencuba nasibnya sekali lagi.

Kali ini, Qatrunnada hanya membiarkan Wafi menyentuh pipi lembutnya itu. Tindakan Wafi telah membuatkan air mata Qatrunnada mulai gugur dan mengenai tangan Wafi. Perasaan sebak akhirnya membuatkan Wafi menarik Qatrunnada lalu memeluknya. Pelukan itu telah membuatkan air mata lelaki Wafi juga turut gugur.

Setelah beberapa ketika, akhirnya Wafi melepaskan pelukannya lalu menyuruh Qatrunnada untuk duduk di sebelahnya. Dia hanya ingin menatap wajah wanita yang telah berjaya mencuri hatinya sebelum dia menyerah diri.

"Sejak bila you dapat tahu you dijangkiti penyakit itu?" tanya Qatrunnada, lemah.

"Adalah dalam beberapa minggu lepas, kenapa? You dapat tahu bila?" tanya Wafi selepas menjawab soalan Qatrunnada.

"I dapat tahu sebelum you jual Hafizal lagi," jawab Qatrunnada lalu menangis.

"You rasa bersalah?" tanya Wafi.

Qatrunnada hanya mengangguk lemah. Wafi mengelap air mata yang mengalir di pipi Qatrunnada lalu memandangnya tepat pada matanya.

"Untuk apa?" tanya Wafi lagi.

"I telah cuba sedaya upaya supaya I tak jangkitkan penyakit ini pada you, tapi akhirnya you dijangkiti juga. I minta maaf, silap I sebab sanggup jadi teman tidur you dulu," jawab Qatrunnada.

"Dengan cara hidup I, lambat laun pun I tetap akan dapat penyakit ini. Simpan perasaan bersalah you itu. You tak pernah ada salah dengan I, tak perlu rasanya you nak minta maaf dengan I. Benda dah jadi, apapun kita sudah tak boleh nak ubah lagi. I yang sepatutnya minta maaf dengan you, sebab I telah babitkan you dalam kancah pelacuran menyebabkan you dijangkiti penyakit ini," jelas Wafi lalu tunduk memandang lantai.

"Apa yang berlaku ketika itu, sedikitpun I tak ada kekesalan. I memang sepatutnya bayar apa yang I hutang, walau dengan apa cara sekalipun. Oh ya, kalau you nak cari rumah di sini, I boleh uruskan. Itu saja yang I boleh buat untuk bantu you," jawab Qatrunnada lalu memegang tangan Wafi.

Wafi dapat merasakan hangatnya pegangan tangan Qatrunnada, sehangat perasaan cintanya pada wanita itu. Namun seketika selepas itu, dia melepaskan tangan wanita itu, membuatkan wanita itu terpinga-pinga.

"Tak perlu susah-susah, Qat. I akan pulang ke KL pagi esok, I nak serah diri. I sudah tak larat nak lari lagi. I ini bukannya sihat seperti dulu, Qat. Mana boleh nak hidup seperti ini lagi," terang Wafi, lembut.

"Kalau begitu, malam ini kita makan bersama-sama. Kalau you tak mahu keluar, kita makan di sini. Dengan Bob sekali, tapi I belanja. Boleh tak? I memang teringin nak belanja you makan, walaupun sekali. Please," jelas Qatrunnada sambil membuat riak wajah meminta simpati membuatkan Wafi mulai tewas lalu menganggukkan kepalanya.

"Terima kasih, Wafi."

Kata-kata Qatrunnada membuatkan Wafi memandang wanita yang duduk di sebelahnya sedari tadi. Inilah kali pertama dia mendengar wanita itu memanggilnya dengan nama. Selalunya dia akan memanggil lelaki itu dengan panggilan 'encik' atau 'tuan'. Entah mengapa, apabila terdengar kata-kata Qatrunnada itu, bibirnya menguntum senyum tanpa dia sedar.

"Sama-sama, Qatrunnada. Kalaulah I boleh jadikan you isteri I," jawab Wafi.

Wafi dapat melihat Qatrunnada terbungkam mendengar kata-kata Wafi itu. Namun begitu, selepas itu dia tersenyum.

"Kalau you sanggup tanggung akibatnya, kita boleh bernikah malam ini juga," jawab Qatrunnada.

"Don't tell me," ujar Wafi sambil memandang ke arah Qatrunnada.

"Kalau saya jadi bos, saya redah saja. Alang-alang bukan?" sampuk Bob sambil tersenyum nakal, seolah-olah dapat membaca apa yang difikirkan oleh Qatrunnada.

Lama Wafi mendiamkan diri. Buntu kepalanya memikirkan timbang tara cadangan Qatrunnada itu. Wajarkah dia berbuat demikian sedangkan dia tahu dia bakal meninggalkan wanita itu juga akhirnya?

     *     *     *     *     *

Malam itu, atas rancangan Qatrunnada dan Bob, Wafi dan Qatrunnada ditangkap khalwat. Mujurlah orang ramai tidak mengenali wajah Wafi kerana wajahnya yang cengkung dan berjambang. Mereka berdua telah dibawa ke Pejabat Agama Islam Daerah Johor Bahru untuk siasatan.

Keduanya mengaku bersalah di atas kesalahan itu membuatkan penguatkuasa yang terlibat hanya menggelengkan kepala. Apabila ditanya apakah mereka sanggup bernikah, keduanya hanya bersetuju menyebabkan pihak Pejabat Agama terpaksa menghubungi Qayyum, abang kepada Qatrunnada memandangkan bapa Qatrunnada telah lama meninggal dunia.

Mujurlah Qayyum memang menetap di Johor Bahru setelah mendirikan rumah tangga dua tahun lalu, jadi dia dapat menghadirkan dirinya dalam masa setengah jam sahaja. Setibanya dia di sana, Qatrunnada sedang duduk bertentangan dengan Wafi yang ketika itu ditemani oleh Bob. Wafi dapat melihat Qayyum menjeling ke arahnya sebelum mendekati Qatrunnada.

"Apa yang Ada buat ini? Ada sedar tak?" tanya Qayyum, berbisik namun dapat didengari oleh Wafi.

"Ada sedar, along. Tolonglah, Ada cuma nak rasa bagaimana jadi isteri orang sebelum Ada tutup mata," jawab Qatrunnada dengan wajah minta simpati.

"Dia tahu tak tentang penyakit Ada? Ada tak boleh mengandung, nanti dia kata apa pula?" tanya Qayyum lagi.

"Dia tahu, jangan bimbang. Ada sedar itu, along tapi kalau Ada sihat sekalipun, belum tentu Ada boleh mengandungkan anak dia sebab dia pun sakit," jawab Qatrunnada.

Qayyum terkesima mendengar jawapan adiknya itu. Wafi yang hanya melihat gelagat dua beradik itu hanya mampu mengeluh kesah. Mengapalah dia bersetuju dengan idea gila Qatrunnada siang tadi?

Rancangan mereka dijalankan dengan penuh hemat. Dia dan Qatrunnada makan bersama seperti yang dipinta oleh Qatrunnada manakala Bob pula menelefon Jabatan Pencegah Maksiat untuk membuat laporan. Namun, yang mereka berdua tak menjangka, selain daripada mereka, ada lima lagi pasangan yang ditangkap khalwat di hotel tersebut. Entah apalah nasib mereka semua.

"Hah, kau! Siapa nama?" tanya Qayyum, menghentikan lamunan Wafi sejak tadi.

"Wafi," jawab Wafi, ringkas.

"Betulkah kau boleh bahagiakan adik aku, walaupun untuk sekejap?" tanya Qayyum, kelihatan ragu-ragu untuk menyerahkan adik kesayangannya kepada Wafi.

"In shaa Allah, saya tak boleh janjikan apa-apa, tetapi saya akan lakukan apa yang terdaya untuk buat Qat bahagia. Jadi, saya minta maaf kalau saya tak mampu untuk berikan kebahagiaan yang terbaik buat Qat," jawab Wafi, lembut.

"Aku suka jawapan kau, jujur. Itu soalan jerat saja. Aku tak nak lelaki yang hanya pandai bermadah tetapi satupun dia tak buat. Tak apa, tahulah aku nak buat apa," jawab Qayyum lalu bangun menuju ke arah pegawai penguatkuasa yang ada tidak jauh dari tempat mereka duduk.

Wafi hanya memandang tingkah laku Qayyum yang sedang berbincang dengan para pegawai tersebut. Dia masih lagi tak pasti apakah keputusannya ini betul dan tidak memberikan sebarang sesalan buatnya mahupun Qatrunnada suatu hari nanti.

Setelah beberapa ketika, Qayyum dan para pegawai yang terlibat mendekati mereka bertiga lalu berdiri di antara Qatrunnada dan Wafi.

"Beginilah, atas permintaan abang cik Qatrunnada, kami akan nikahkan kamu berdua tetapi bukan malam ini. Kami akan nikahkan kamu berdua esok pagi, jadi malam ini Encik Amir kena temankan Encik Wafi ini baik-baik. Cik Qatrunnada pula, cik kena ikut Encik Qayyum pulang untuk keselamatan cik juga," jelas salah seorang pegawai yang bertugas membuat serbuan tadi.

Wafi hanya mengangguk kepalanya, tanda faham akan penjelasan yang diberikan oleh pegawai tadi. Selepas melihat reaksinya, para pegawai itu mula bersalam dengan Qayyum, Bob dan dirinya sebelum beredar dari situ.

"Ada, ikut along balik. Nanti kak long kamu cari pula," ujar Qayyum yang mula melangkah meninggalkan Wafi dan Bob diikuti oleh Qatrunnada.

"Macam tak percaya saja, esok bos sudah nak bernikah. Saya ingatkan saya bakal kempunan untuk melihat bos bernikah," seloroh Bob tiba-tiba.

"Kau ini, aku sekeh juga baru tahu? Mujur abang dia tak tahu aku punca adik dia sakit, kalau tak kau rasa dia nak bagi adik dia nikah dengan aku?" tanya Wafi, berang dengan gurauan Bob yang tidak kena pada tempatnya itu.

"Ala, bos. Main-main pun tak boleh," jawab Bob sebelum bangun untuk meninggalkan pejabat itu.

Melihat Bob, Wafi juga turut bangun lalu mengikuti jejak langkah Bob untuk keluar dari situ. Pening dia memikirkan apakah yang bakal terjadi esok.

     *     *     *     *     *

Wafi dapat melihat Qatrunnada sedang duduk di tempat menunggu berhampiran kaunter hadapan hotel apabila Wafi dan Bob turun dari tingkat atas. Wanita itu mempunyai beg pakaian bersamanya, menandakan bahawa wanita itu akan mengikutnya ke Kuala Lumpur.

Qatrunnada binti Roslan, bekas model ternama akhirnya menjadi isteri bekas Pengarah Urusan M&M Constructions Sdn. Bhd. dan juga bekas CEO Mustaqim Ventures. Semuanya berbekas akibat kebodohannya sendiri. Wanita itu telah berjaya dinikahinya pagi tadi diwalikan oleh abang sulung Qatrunnada, Qayyum dengan hanya sekali lafaz. Akan tetapi, mereka berdua disarankan untuk mengambil kursus kahwin dan diminta untuk menyerahkan sijil kursus bagi membolehkan mereka berdua mendapat kad nikah. Nampaknya dia harus menangguhkan rancangannya untuk menyerah diri selepas urusan pernikahannya selesai.

Wafi dan Bob mendekati Qatrunnada. Selepas meletakkan beg, Bob menuju ke arah kaunter untuk membuat bayaran. Qatrunnada pula bangun lalu menghulurkan tangannya untuk bersalam. Wafi menyambut tangan isterinya dan dia dapat merasakan tangannya dicium oleh Qatrunnada membuatkan dia mula merasakan suatu perasaan yang asing dalam dirinya.

"Kalaulah aku bernikah cara baik, mesti aku sudah dapat menikmati kebahagiaan ini lebih awal," getus hati kecil Wafi.

"Kenapa, abang?" tanya Qatrunnada, barangkali hairan dengan riak wajah Wafi membuatkan Wafi tersentak lalu kembali ke alam nyata.

"Qat panggil apa tadi?" tanya Wafi, inginkan kepastian.

"Kenapa dengan abang?" ulang Qatrunnada.

Semakin berbunga rasa hatinya mendengar nama panggilan 'abang' itu. Patutlah Hafizal sayang sangat dengan Ayra. Memang bernikah ini lebih indah.

"Tak ada, masih kekok. Almaklumlah, sudah lama abang tak mendekati perempuan. Sejak abang larikan diri dari polis," jawab Wafi sambil tersenyum.

"Tak apa, walaupun abang nanti ada di dalam penjara, selagi hayat Qat masih ada, Qat akan setia menanti abang habiskan hukuman abang," bisik Qat di telingan Wafi.

"Betulkah? Cuma, dapatkah abang bertahan sampai hukuman abang habis?" tanya Wafi pula membuatkan riak wajah Qatrunnada berubah.

Bukan niatnya untuk membuat Qatrunnada terasa hati, namun dia dapat merasakan bahawa hayatnya akan tamat di dalam penjara, bukan di luar. Paling baik pun, mungkin di hospital.

*BERSAMBUNG*

0 comments:

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com