Wednesday, October 18, 2017

Kau Kunci Hatiku Bahagian 33...

Bahagian sebelumnya:
Bahagian 33: Kifarah Dosa

"Kenapa dengan tuan?" tanya Qatrunnada, hairan.

"Dia sangkakan dengan bercerai, selesailah masalahnya. Manalah dia tahu Ayra itu mengandung pula kan?" ujar Bob sambil menaip sesuatu di telefon bimbitnya.

"Aku nak tanya kau sedikit boleh?" tanya Bob setelah lama dia mendapati Qatrunnada tidak berkata-kata apa-apa.

"Apa dia?" tanya Qatrunnada.

"Kau sebenarnya sayangkan siapa sekarang?" tanya Bob, ingin tahu.

"Kenapa kau tanya?" tanya Qatrunnada lagi.

"Aku keliru. Kadang-kadang nampak kau macam sukakan bos, kadang-kadang nampak macam kau sukakan Hafizal. Mana satu ini? Harry pula macam mana?" tanya Bob, terus terang.

"Orang macam aku ini Bob, layakkah nak menyukai sesiapa?" tanya Qatrunnada.

"Semua manusia layak untuk menyayangi seseorang tapi untuk dibalas perasaannya, itu lain. Betul tak?" tanya Bob, setelah mengeluarkan pendapatnya.

Qatrunnada tidak menjawab, sebaliknya hanya mengangguk.

"Oh ya, demam kau sudah kebah belum?" tanya Bob lagi.

"Sudah, cuma aku rasa badan aku letih sangat dan kepala aku kadang-kadang sakit sampai tak boleh nak buka matapun. Atas sebab itulah, aku kurang ambil pelanggan kebelakangan ini," ujar Qatrunnada.

"Kau nak pergi jumpa doktor? Aku boleh minta izin dengan bos untuk bawa kau ke sana. Aku bukan apa, kau nak pakai tubuh badan kau ini lama lagi kot. Macam manapun, tetap kena jaga."

"Boleh juga, nanti bila tuan dah berikan keizinannya, kau beritahulah aku."

Bob tidak menjawab, sebaliknya hanya tersenyum nipis.

     *     *     *     *     *

"Ada apa you datang jumpa I ini?" tanya Hafizal setelah dia menyalin pakaiannya di dalam bilik kurungannya.

Qatrunnada yang duduk di atas kerusi berhampiran dengan katil Hafizal tersenyum.

"You tak sunyikah duduk terperuk di dalam bilik ini? You sedar tak sudah berapa lama you duduk di sini?" tanya Qatrunnada, hairan.

"Qat, sejak I dikurung di sini dan semua harta I dirampas, I sudah tak tahu mana siang mana malam, hari ini hari apa, apa yang terjadi di luar sana, semuanya I sudah tak ambil peduli lagi. Hidup I selama ini pun jadi punching bag Wafi sahaja," ujar Hafizal sambil duduk di atas kerusi yang bertentangan dengan Qatrunnada.

"You tahu kenapa you dibelasah oleh Wafi?" tanya Qatrunnada, serba salah.

"Kenapa, Qat?" tanya Hafizal, hairan.

"Setiap kali Wafi bergaduh atau marahkan Ayra, dia akan datang ke sini dan membelasah youYou buat segalanya untuk Ayra, tapi kerana Ayra, you perlu menanggung kesakitan hampir setiap hari. Adilkah begitu?" tanya Qatrunnada yang melihat Hafizal yang baru sahaja mula menjamah makanan yang dibawanya.

"Wah, nampaknya selalu juga Wafi bergaduh dengan Ayra! Kenapa mereka bergaduh?" tanya Hafizal, teruja.

"You ini ada urat putuskah di dalam kepala otak you? Bekas isteri you menyebabkan you dibelasah, tapi you lebih berminat untuk tahu sebab mereka berdua bergaduh? Susah sangatkah you nak lupakan dia? Dia sudah ada Wafi, dan I yakin Wafi takkan berikan peluang untuk you dekati Ayra!" bentak Qatrunnada, geram apabila Hafizal seolah-olah tidak berasa apa-apa menjadi tempat Wafi melepaskan kemarahannya terhadap Ayra.

"I sudah banyak susahkan dia, tambahan pula dia sedang mengandungkan zuriat I. Sekarang, dia kena melayan kerenah Wafi itu. Mestilah dia tertekan. I tak salahkan dia kalau dia bergaduh dengan Wafi setiap hari sekalipun walaupun I akan dibelasah kerananya. You takkan faham, sebab you dengan Harry tak ada sifat itu dalam diri kau orang," jelas Hafizal yang masih menikmati makanannya.

Qatrunnada terbungkam mendengar kata-kata Hafizal itu. Dia terpaksa mengakui, sejak Hafizal dan Ayra bercerai, dia lihat Ayra seperti manusia tanpa jiwa. Wajah wanita itu juga sedikit cengkung, dan matanya sembap. Mungkin akibat banyak kali menangis.

"Qat, Wafi panggil kau. Katanya ada benda dia nak kau jelaskan," pesan Ayra yang baru sahaja masuk ke dalam bilik tersebut.

Hafizal dan Qatrunnada terkesima melihat kehadiran Ayra di dalam bilik itu.

"Selepas Hafizal selesai makan, aku ke sana," balas Qatrunnada dengan wajah yang mulai pucat.

"Wafi kata sekarang. Dia suruh aku tengokkan Hafizal. Lagipun, hari ini hari jadi aku bukan?" ujar Ayra sambil tersenyum.

Qatrunnada nampak resah, namun dia tetap bangun dan berjalan keluar dari bilik itu. Dia berjalan menuju ke arah Wafi yang berada di ruang utama.

Qatrunnada menghampiri Wafi dengan wajah yang pucat. Dia tak tahu bagaimana hendak menerangkan situasinya kepada Wafi.

"Kau kenapa, Qat?" tanya Wafi, hairan dengan riak wajah Qatrunnada.

Qatrunnada tidak terus menjawab, hanya menguis tangannya. Melihat keadaan Qatrunnada, Wafi menarik Qatrunnnada menuju ke dalam biliknya lalu menutup pintu bilik tersebut. Wafi membawa Qatrunnada untuk duduk di atas sofa.

"Kenapa dengan kau ini, Qat?" tanya Wafi lagi.

"Saya sebenarnya nak cari jalan supaya Hafizal meniduri saya, agar saya boleh buat Ayra bencikan dia. Saya tak sanggup nak tengok bos bergaduh dengan Ayra hampir setiap hari dan akhirnya bos lepaskan semua perasaan geram bos pada Hafizal," terang Qatrunnada.

"Oh, jadi?" tanya Wafi lagi.

"Saya letakkan dadah dalam makanan yang Wafi makan tadi, dengan harapan dia akan khayal dan mula menghampiri saya. Cuma, saya tak sangka Ayra masuk ke dalam bilik Hafizal tadi dan minta saya tinggalkan mereka berdua!" sambung Qatrunnada lagi.

"Apa?" tanya Wafi lalu berlari menuju ke arah skrin CCTV. Namun, semuanya sudah terlambat. Hafizal telahpun bertindak mencium Ayra. Maka, Wafi terus memadamkan skrin CCTV bagi mengelakkan sesiapapun menonton adegan panas sepupunya itu.

"Sudah terlambat, Qat. Secara teknikal, mereka sudahpun rujuk semula. Nantilah aku fikirkan cara lain untuk hancurkan Hafizal nanti," jawab Wafi.

"Bukankah pernikahan mereka berdua adalah rahsia? Ayra pun mengandung bukan? Rasanya kita boleh gunakan itu, tuan."

Wafi terdiam seketika mendengar pendapat Qatrunnada itu. Namun, selepas itu dia tersenyum sinis.

     *     *     *     *     *

"Begini, cik Qatrunnada, saya telah melakukan ujian kepada sampel darah cik Qatrunnada sebanyak tiga kali dan keputusannya masih tidak berubah. Jadi, saya anggap keputusan ujian darah itu tepat bagi pihak kami," jelas Dr. Katrina sebaik sahaja Qatrunnada duduk di atas kerusi yang berada di tepi doktor tersebut.

"Apa masalahnya, doktor? Saya ada penyakit kronikkah?" tanya Qatrunnada, bimbang.

"Saya harap apabila saya menyatakan keputusan ujian darah cik, cik boleh bawa bertenang. Cik boleh lakukan pemeriksaan kali kedua di mana-mana hospital andai cik berasa keputusan ujian ini tidak tepat," jelas Dr. Katrina lagi.

"Doktor jangan takutkan saya," jawab Qatrunnada, mulai resah.

"Saya perlu sampaikan kepada awak, cik Qatrunnada demi masa depan awak. Berat untuk saya katakan, tapi keputusan ujian darah menunjukkan awak adalah HIV positif. Saya perlu tahu, adakah awak terlibat dengan dadah, seks rambang atau pemindahan darah sebelum ini?" jelas Dr. katrina.

"Saya terlibat dengan seks rambang, doktor. Betulkah semua ini, doktor? Adakah saya masih boleh diselamatkan? Berapa lama tempoh yang saya ada?" tanya Qatrunnada, sebak.

"Sekiranya awak ingin mengambil ujian kali kedua, saya boleh berikan alamat dan nombor telefon agensi yang berkaitan. Saya juga boleh memberikan maklumat tentang kaunselor yang boleh memberikan khidmat nasihat kepada awak berkenaan penjagaan diri dan emosi. Ingat, cik. Ajal dan maut bukan di tangan saya, tapi di tangan Tuhan. Saya tak boleh berikan jangka masa yang cik ada, kerana semuanya tertakluk kepada bagaimana cik menjaga diri cik selepas ini."

"Baiklah, terima kasih doktor. Saya rasa saya perlu bertenang dulu, nanti saya jumpa doktor semula," ujar Qatrunnada sebelum bangun lalu keluar dari bilik doktor.

Bob yang menunggu di luar mula mendekati Qatrunnada. Qatrunnada memandang wajah Bob dengan hati yang sebak.

"Doktor kata apa, Qat?" tanya Bob, bimbang melihat keadaan Qatrunnada itu.

"Aku ada HIV," jawab Qatrunnada, perlahan. Dia bimbang jika perbualannya didengari sesiapa.

"Tak mungkin, Qat. Kau baru sahaja terjebak dalam kancah pelacuran. Takkan kau boleh dapat virus ini?" tanya Bob lagi.

"Masalahnya, aku tak tahu siapa pembawanya. Aku pernah tiduri ramai orang, termasuklah Harry dan tuan. Tuan! Kau kena suruh dia buat ujian HIV cepat!" Qatrunnada mula gelabah setelah teringatkan Wafi.

"Kau sayangkan bos sebenarnya, bukan?" tanya Bob, ingin menduga.

Qatrunnada terkesima mendengar soalan terakhir Bob. Dia sendiripun keliru. Bagaimanakah dia mahu menjawab soalan itu?

*BERSAMBUNG*

0 comments:

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com