Monday, October 16, 2017

Kau Kunci Hatiku Bahagian 30...

Bahagian sebelumnya:

Bahagian 30: Lain Buat, Lain Jadinya

"Saya rasa awak marahkan saya, sebab itu awak pecat saya. Betul ke?" Hafizal mengeluarkan pendapatnya.

"Kenapa saya perlu marahkan tuan? Tuan tak buat apa-apa salah pada saya," jawab Ayra sambil mengerutkan dahinya tanda hairan.

"Awak dah tengok ke video itu?" tanya Hafizal lagi.

"Sudah, dan kalau tuan tanya saya percayakan video itu ataupun tidak, saya rasa saya pernah berikan jawapan saya kepada tuan sebelum ini," ujar Ayra sambil tersenyum.

Hafizal terhenti sejenak lalu berfikir. Ya, benar. Ayra pernah mengatakan bahawa dia akan percayakan Hafizal andai Hafizal melakukan sesuatu yang di luar jangkaan Ayra. Sekali lagi dia tersenyum mendengar jawapan Ayra kerana dia sedar bahawa Ayra memilih untuk percayakan dirinya.

"Masih bolehkah saya pegang kata-kata awak dulu?" tanya Hafizal.

Ayra tidak menjawab, sebaliknya hanya tersenyum. Fahamlah Hafizal akan maksud Ayra itu.

"Terima kasih, Mel."

"Sudah selesaikah, Ijal? Kalau tak ada apa-apa lagi, kau boleh balik," sampuk Wafi yang tiba-tiba berada di sebelah Hafizal membuatkan Hafizal sedikit terkejut.

"Sudah. Aku harap kau boleh jaga syarikat ini dengan baik," ujar Hafizal, lembut.

"Jangan risau, sepupu kesayanganku. Aku akan jaga syarikat kau dengan baik sekali sampai kau berasa diri kau itu tak berguna lagi," jawab Wafi, megah.

"Encik Wafi, pejabat encik saya kena kemaskan dulu. Kalau encik lapor diri esok, boleh?" tanya Ayra sambil tersenyum ke arah Wafi.

"Boleh, sayang. Kalau begitu, saya bawa Ijal pulang sajalah. Jom, Ijal!" jawab Wafi dalam dua nada yang berbeza, lembut bagi Ayra dan keras bagi Hafizal.

Hafizal tidak menjawab, sebaliknya hanya mengikut langkah Wafi yang sudahpun berjalan menuju ke arah lif.

"Alang-alang kau sudah keluar ini, aku nak kau uruskan hal penceraian kau dengan Ayra. Faham?" arah Wafi, separuh menjerit.

"Baiklah," jawab Hafizal, lemah.

"Aku nak kau ingat sesuatu, taraf kau sekarang bukan lagi seperti dulu. Jadi, aku tak nak kau berperangai seperti mana kau berperangai sebelum ini. Kalau kau nak bekas isteri kau dan anak dalam kandungan dia selamat, aku nak kau patuh semua arahan aku," arah Wafi lagi.

"Baiklah," jawab Hafizal lagi.

"Bagus. Ini yang aku mahukan. Masuk dalam kereta, " arah Wafi yang sudahpun memasuki kereta Toyota Altis miliknya. Hafizal pula duduk bersebelahan dengan Wafi di tempat duduk belakang manakala dua orang orang bawahan Wafi duduk di kerusi hadapan.

Hafizal hanya mampu memandang ke luar tingkap kerana dia tahu sebaik sahaja dia selesai menguruskan hal penceraiannya dengan Ayra, entah bila lagi dia dapat melihat dunia luar.

      *      *      *      *      *

"Ada apa you datang jumpa I ini?" tanya Hafizal setelah dia menyalin pakaiannya di dalam bilik kurungannya.

Qatrunnada yang duduk di atas kerusi berhampiran dengan katil Hafizal tersenyum.

"You tak sunyikah duduk terperuk di dalam bilik ini? You sedar tak sudah berapa lama you duduk di sini?" tanya Qatrunnada, hairan.

"Qat, sejak I dikurung di sini dan semua harta I dirampas, I sudah tak tahu mana siang mana malam, hari ini hari apa, apa yang terjadi di luar sana, semuanya I sudah tak ambil peduli lagi. Hidup I selama ini pun jadi punching bag Wafi sahaja," ujar Hafizal sambil duduk di atas kerusi yang bertentangan dengan Qatrunnada.

Setelah beberapa ketika, dia tidak lagi dirantai walaupun masih dikurung kerana Wafi masih bimbang andai dia terlepas keluar dari markas itu. Apa yang tidak berubah hanyalah dirinya akan dibelasah hampir setiap hari tanpa diberitahu apakah sebabnya.

"You tahu kenapa you dibelasah oleh Wafi?" tanya Qatrunnada, serba salah.

"Kenapa, Qat?" tanya Hafizal, hairan.

"Setiap kali Wafi bergaduh atau marahkan Ayra, dia akan datang ke sini dan membelasah you. You buat segalanya untuk Ayra, tapi kerana Ayra, you perlu menanggung kesakitan hampir setiap hari. Adilkah begitu?" tanya Qatrunnada yang melihat Hafizal yang baru sahaja mula menjamah makanan yang dibawanya.

"Wah, nampaknya selalu juga Wafi bergaduh dengan Ayra! Kenapa mereka bergaduh?" tanya Hafizal, teruja.

"You ini ada urat putuskah di dalam kepala otak you? Bekas isteri you menyebabkan you dibelasah, tapi you lebih berminat untuk tahu sebab mereka berdua bergaduh? Susah sangatkah you nak lupakan dia? Dia sudah ada Wafi, dan I yakin Wafi takkan berikan peluang untuk you dekati Ayra!" bentak Qatrunnada, geram apabila Hafizal seolah-olah tidak berasa apa-apa menjadi tempat Wafi melepaskan kemarahannya terhadap Ayra.

"I sudah banyak susahkan dia, tambahan pula dia sedang mengandungkan zuriat I. Sekarang, dia kena melayan kerenah Wafi itu. Mestilah dia tertekan. I tak salahkan dia kalau dia bergaduh dengan Wafi setiap hari sekalipun walaupun I akan dibelasah kerananya. You takkan faham, sebab you dengan Harry tak ada sifat itu dalam diri kau orang," jelas Hafizal yang masih menikmati makanannya.

Qatrunnada terbungkam mendengar kata-kata Hafizal itu. Dia terpaksa mengakui, sejak Hafizal dan Ayra bercerai, dia lihat Ayra seperti manusia tanpa jiwa. Wajah wanita itu juga sedikit cengkung, dan matanya sembap. Mungkin akibat banyak kali menangis.

"Qat, Wafi panggil kau. Katanya ada benda dia nak kau jelaskan," pesan Ayra yang baru sahaja masuk ke dalam bilik tersebut.

Hafizal dan Qatrunnada terkesima melihat kehadiran Ayra di dalam bilik itu.

"Selepas Hafizal selesai makan, aku ke sana," balas Qatrunnada dengan wajah yang mulai pucat.

"Wafi kata sekarang. Dia suruh aku tengokkan Hafizal. Lagipun, hari ini hari jadi aku bukan?" ujar Ayra sambil tersenyum.

Tahulah Hafizal apakah tarikh hari ini. Hari ini merupakan hari ulang tahun kelahiran Ayra, 9 Oktober rupanya. Meskipun mereka berdua sudah bercerai, dia sama sekali takkan melupakan bilakah tarikh lahir bekas isterinya itu.

Qatrunnada nampak resah, namun dia tetap bangun dan berjalan keluar dari bilik itu. Ayra pula berjalan ke arah kerusi yang ditinggalkan oleh Qatrunnada itu tadi lalu duduk di atasnya.

"Mel sengaja halau Qat tadi bukan?" tanya Hafizal sambil tersenyum nakal.

"Betullah Wafi nak jumpa dia, bukannya Mel yang halau dia. Lagipun, Mel dah minta izin Wafi untuk beri peluang pada Mel untuk habiskan masa dengan abang. Mel nak sambut hari jadi Mel dengan abang," jawab Ayra lalu menghulurkan sepiring kek kepada Hafizal.

Hafizal menyambut kek tersebut lalu memotong secebis kek tersebut dan disuapkan ke dalam mulutnya. Sudah lama rasanya dia tidak menikmati kek, kali terakhir adalah ketika sambutan hari lahirnya dua bulan lepas.

"Terima kasih, Mel. Sedap sangat, dah lama tak makan kek. Oh ya, selamat hari jadi sayang. Semoga Mel dapat semua yang Mel hajati. Jadi, Mel sihat?" tanya Hafizal, berbasa-basi. Namun, fokusnya beralih ke arah bahagian tubuh Ayra yang tak sepatutnya dilihat. Dia cuba mengalihkan perhatiannya, tetapi tidak berjaya.

"Sihat, abang. Abang kenapa berpeluh ini? Abang sihat ke tak ini?" tanya Ayra yang melihat Hafizal mula berpeluh-peluh walaupun cuaca di dalam bilik tersebut agak sejuk.

"Entahlah, Mel. Abang rasa badan abang panas sangat. Kepala pun berasa pening," ujar Hafizal sambil memegang kepalanya.

Ayra ingin bangun untuk memanggil orang bawahan Wafi untuk membantu, tetapi belum sempat dia melangkah, tangannya sudah direntap oleh Hafizal lalu bibirnya dicium dengan rakus.

Pada mulanya, Ayra cuba meronta bagi melepaskan dirinya tetapi Hafizal lebih dahulu mengunci Ayra di dalam pelukannya. Semakin kuat Ayra mencuba untuk melepaskan diri, semakin kuat pelukan Hafizal. Tak lama selepas itu, Hafizal dapat merasakan Ayra berhenti meronta dan membalas ciuman Hafizal itu.

Akibat rindu dendam mereka berdua yang terlalu kuat, akhirnya Hafizal dan Ayra kembali rujuk secara tak sengaja walaupun Hafizal sama sekali tak memahami bagaimana ianya boleh terjadi. Ayra dilihat begitu mempersonakan malam ini, malah nafsunya tiba-tiba membuak setelah melihat Ayra.

Mungkinkah makanannya telah diletakkan sesuatu? Akan tetapi, siapakah gerangan yang meletakkannya dan mengapa?

     *     *     *     *     *

Hafizal terjaga apabila dia merasakan ada tangan yang memeluknya. Alangkah terkejutnya dia melihat Ayra yang sedang tidur itu memeluknya. Dia cuba mengingati semula apa yang telah berlaku tetapi kepalanya sangat sakit.

Lama dia memikirkan semula, akhirnya dia dapat mengingati satu persatu detik yang berlaku malam tadi. Dia hanya mampu menepuk dahinya kerana yang terjadi telahpun terjadi.

Sedang dia memikirkan apa yang harus dia lakukan kini, tiba-tiba Ayra tersedar dari tidurnya. Dia menggosok-gosokkan matanya lalu memandang Hafizal dengan pandangan yang kosong.

"Good morning, sayang. Sudah bangun?" tanya Hafizal, ingin menguji.

"Good morning, abang. Cuba tanya soalan cerdik sikit, ini tanya soalan yang terang lagi bersuluh. Hidup terkurung memang buat abang semakin kurang cerdikkah?" jawab Ayra sambil menjeling ke arah Hafizal.

"Oh, Mel sedar rupanya Mel berada di mana," ujar Hafizal sambil menganggukkan kepalanya.

"Mestilah. Eh, sekarang pukul berapa?" tanya Ayra lalu mengambil telefon bimbitnya yang berada di dalam beg tangannya.

"Alamak! Sudah pukul 10 pagi! Mel sudah lambat ke pejabat! Eh, ada mesej dari Wafi. Sayang tak perlu datang kerja hari ini, I bagi cuti sempena you rujuk semula dengan Ijal. Cuma, you masih lagi harus menjadi kekasih I kalau you masih nak tengok suami you selepas ini. Love you," Ayra membaca satu persatu bait kata yang tertera di dalam mesej yang di hantar oleh Wafi.

"Wafi itu betul ikhlas ke perli?" tanya Hafizal, bengang.

"I don't care, as long as I get the time to spend with you although I just cannot understand what is happening last night. Kenapa abang tiba-tiba cium Mel?"

"Abang pun tak pasti kenapa. Abang rasa nafsu abang tiba-tiba membuak, macam kena pengaruh dadah pun ada."

"Dadah? Kek yang Mel bawa itu memang Mel yang potong dan bawa sendiri. Tak ada sesiapapun yang tolong. Takkanlah makanan abang itu kot?" tanya Ayra sambil menongkat dagunya.

Hafizal memandang Ayra dengan perasaan pelik. Kenapa semua ini berlaku?

*BERSAMBUNG*

0 comments:

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com